Rumah Pak Mat sejak seminggu dua ini sungguh meriah. Masakan tidak, dia bakal menerima menantu baru. Segala persiapan telah disediakan. Bahan basah, khemah, pelamin bahkan katil pengantin bersaiz "Queen" dan mampu menyerap bunyi buatan King Coil juga telah dibelinya.
Sampailah kepada perkara paling penting sekali, iaitu memasak juadah. Memandangkan ini kali pertama Pak Mat menyambut menantu, maka dalam hal ini dia amatlah bebal sekali. Lalu dirujuk permasalahan ini kepada abangnya, Pak Din
"Aku rasa, lebih baik kita ambil Wak Rahim, tukang masak kat kampung kita tu. Lagipun kau baru sahaja duduk di sini, tak kenal semua orang lagi. Silap-silap tukang masak kat sini bodohkan kau pula" ujar Pak Din
Hakikatnya, Pak Mat yang merupakan pegawai polis pangkat sarjan baru sahaja pencen dan rumah yang didudukinya sekarang baru sahaja dibina. Selama ini, dia hanya tinggal di berek polis sahaja
Pak Mat tiada pilihan lain melainkan bersetuju dengan nasihat abangnya itu. Setelah mendapat kata sepakat dengan Wak Rahim Tukang Masak, maka ditetapkan tarikhnya serta upahnya.
Dipendekkan cerita...
Malam sebelum kenduri kahwin itu sungguh-sungguh meriah. Adik beradik, anak buah, saudara mara Pak Mat saling bekerjasama membantu menjayakan kenduri itu.
Di satu khemah, kelihatan periuk-periuk besar dan kuali besar diisi minyak. Nampaknya khemah itu merupakan khemah masak lauk. Wak Rahim dengan pembantunya, Jamal sedang menggoreng ayam dan sedang memasak nasi.
Masa berlalu, malam pula menjelma. Jamal terasa sesuatu yang tidak kena kepada salah satu kualinya.Pelik, minyak didalam kuali itu langsung tidak mendidih. Jamal cuba menguatkan api namun tidak berhasil
Masa berlalu lagi namun minyak kuali itu masih tidak mendidih. "Ini macam kalau tak didih macam mana nak masak lauk ni? Boleh tak jadi majlis macam ni," fikir Jamal
"Jamal, kenapa?" soal Wak Rahim
"Wak Rahim, ini ha. Kuali ini dari tadi tak mendidih-didih. Saya dah kuatkan api gas ini. Tak panas-panas juga minyaknya"
Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, Wak Rahim segera mengambil sehelai kain. Lalu dibacanya kalimah ALLAH s.w.t dan segera diikat kain itu di salah satu tiang khemah.
Lama kelamaan, minyak mendidih dan Jamal meneruskan kerjanya seperti biasa. Namun, Wak Rahim mengingatkan Jamal supaya tidak memberitahu hal ini kepada Pak Mat sehingga tamat kenduri kahwin keesokannya.
*****************************************************
Cerita ini aku dengar dari mulut orang dan aku yakin yang cerita ini adalah benar
Mengikut ceritanya, Pak Mat mengambil tukang masak luar untuk majlisnya. Lantas tukang masak yang asal yakni orang situ tidak suka kerana orang luar masuk kawasannya dan mengambil kerjanya
Lalu, akibat dengki teramat, tukang masak asal itupun mahu mensabotaj kenduri kahwin Pak Mat dengan cara sedemikian. Mujurlah Wak Rahim tahu cara mengatasinya.
Agak menghairankan, sikap dengki sesama kita masih menebal khususnya dikalangan orang melayu. Hanya disebabkan orang lain ambil peluang kita, kita sudah berfikiran bukan-bukan
Apakah kita tidak memikirkan yang mungkin itu bukan rezeki kita. Percayalah yang rezeki itu berada di merata-rata tempat maka carilah dia. Bukan dengan cara sebegini