8 Oktober 2011

Dari Sebuah Langkah

Assalamualaikum! Kabare semua?

Jauh lagi perjalanan kita ni dik oi...


Pada masa sebegini, pada akhir-akhir tahun sebelum kita meraikan tahun baharu masihi biasanya wujud suasana yang semakin genting lagi menyesakkan atmosfera hidup, suatu musim getir terutamanya kepada golongan yang bergelar pelajar iaitu bukan musim kemarau, musim bunga atau musim banjir. Tetapi musim peperiksaan. Bercakap mengenai musim peperiksaan, adik aku kini sedang bertarung dengan kertas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Moga-moga beliau berjaya menjawab soalan yang diberi dengan suksesnya.



Bercakap mengenai peperiksaan juga, aku terimbau kisah lampau aku yang dah berlalu hampir 9 tahun lepas yakni pada tahun 2003. Pada masa itu aku berdepan peperiksaan pertama dalam hidupku iaitu UPSR. Biasalah, waktu itu apalah yang dikisahkan tentang masa depan melainkan di dalam fikiran hanyalah bermain, bergembira dan bersukaria

Aku teringat yang sebulan sebelum peperiksaan bermula aku masih lagi bermalas-malasan kuat bermain hinggalah ayahku merotan aku menggunakan paip getah. Masih terngiang-ngiang di mindaku hingga kini kata ayahku :

"Kalau kau tak lulus, kau tak payah sekolah menengah. Berhenti sekolah kerja kebun je!"

Sudah tentu bila orang tua kita yang bercakap sedemikian, kita pasti merasa gerun bukan? Alhamdulillah keputusan peperiksaan UPSR aku  mengecewakan berbanding kawan-kawan sepermainan aku yang lain, 3A 2B. HAHAHAHA

Masuk ke alam sekolah menengah, aku termenung seketika. Kawan-kawan lain mendapat keputusan yang cemerlang dan berjaya menempatkan diri di sekolah yang bagus. Tetapi aku sekadar disini, dengan keputusan sebegini pula. 

Tetapi, ketika aku di alam sekolah menengah, aku berpendapat yang keputusan UPSR itu adalah bahan arkib kuno. Yang mana bila masuk sahaja ke sekolah menengah itu hanyalah lesen untuk melepasi tingkatan 1. Selebihnya ia bolehlah digantung di pagar sekolah kerana di alam menengah, keputusan UPSR adalah sekadar keputusan. Selagi kamu berusaha, kamu bisa berjaya.

Aku menginsafi diri apabila mahu mengambil peperiksaan PMR pada tahun 2006, jika dahulu aku keberatan mahu menelaah buku, aku buang sikap itu. Jika dulu aku menjauhi Ilahi, aku mendekatkan diri pada-Nya.

Aku menggaulkan diriku dengan sahabat dan menjauhkan diriku dari kawan ketawa. Akhirnya keputusan PMR aku membuahkan hasil dan aku memperoleh 6A 2B. Tapi sayang 2 B itu adalah Matematik dan Sains, yang mana menggagalkan aku untuk menempatkan diri ke sekolah berasrama penuh, MRSM atau mana-mana pun sekali.

Saat itu walaupun aku gembira namun dalam hati aku teramat perit untuk disimpulkan. Segala kudrat serta kerajinan aku tidak dapat diulangi pada peperiksaan SPM. Yang mana kali ini aku benar-benar kecewa.

Untuk apa aku kisahkan semua ini? Persoalannya apakah kaitan atau dalam bahasa sainsnya  pembolehubah yang dimalarkan diantara peperiksaan dan kehidupan?

Saudara-saudari sekalian, hidup ini umpama peperiksaan. Kita tahu kita akan senantiasa ditimpa  dugaan dan cabaran. Soalnya, bersediakan kita? Seperti peperiksaan, sebelum kita mendudukinya kita pasti akan membuat persiapan seperti mengulangkaji pelajaran, beribadat atau yang paling cikai sekalipun ialah memastikan ada pensil 2B yang boleh digunakan untuk melorekkan kertas objektif.

Tanpa persiapan, kita sudah secara tidak langsung sudah mengangkat bendera putih. Kita tidak pun membuka langkah kita untuk kehadapan.Aku ingin berpesan padamu yang setiap kejayaan bermula dari sebuah langkah. Kita dicipta daripada sperma ayah kita yang berjaya melangkah masuk ke dalam ovum. Jika sperma itu gagal maka mana mungkin kita dilahirkan. Ketika kita masih bayi dan masih belum reti berjalan, kita berusaha melangkah menggunakan kaki meskipun acapkali terjatuh. 

Benar, orang kata peperiksaan itu bukanlah segalannya. Dunia tidak mungkin  akan kiamat atau negara akan diserang musuh jika engkau gagal semua subjek yang diambil. Kegagalan akan berlaku. Tetapi kita harus bijak menangkis kegagalan daripada berulang kembali. Jangan biarkan sejarah yang lepas diulang. Bak kata pujangga; barang yang lepas jangan dikenang.

Hakikatnya, setiap manusia boleh berjaya tetapi jalan yang dilalui untuk berjaya itu banyak cabang. Misalannya jika kita mahu ke tempat A kita boleh berjalan kaki atau menaiki kereta.

SOALNYA DISINI, mana jalan yang engkau mahu ambil? Mana langkah yang mahu kau ambil? Yang berliku, atau yang lurus?

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Seperti kata pujangga; " Kita yang membentuk sesuatu, bukan mereka yang membentuk kita"

Kepada mereka yang sekarang atau yang bakal mengambil peperiksaan, aku berpesan yang peperiksaan ini hanyalah langkah kecil. Hakikatnya, jalanmu masih panjang lagi.

Melainkan engkau berputus asa, maka jalan engkau adalah jalan mati


artikel di atas adalah pendapat peribadi penulis, Ismaputra Samsudin. Jangan lupa untuk "follow blog ini.

Tiada ulasan: