21 Julai 2012

Ala Kadar

Kebanyakkan daripada kita mudah berpuas hati dengan apa yang kita ada

Bukanlah saya mahu mengajar anda supaya tidak bersyukur. Tetapi kita perlulah memperbaiki diri kita supaya tidak selama-lamanya di takuk yang sama. Jika tidak kita akan ketinggalan

Kebanyakkan daripada kita, khususnya orang MELAYU hanya sekadar cukup sahaja

Misalnya, 

kalau dapat gaji cukup makan
kalau buat kerja ala kadar
kalau menyimpan sekadar cukup
kalau berniaga dia tak mahu rugi cukuplah lepas modal
kalau beribadat sekadar yang wajib

tetapi kalau orang lain lebih dia akan marah


Orang-orang sebegini saya anggap jenis orang yang malang. Malang bagi kita kerana dia hidup menghirup udara, menyesakkan lagi kepadatan penduduk dunia.

Saya ambil contoh, orang MELAYU suka bergantung harap kepada kerajaan. Bermula dari kecil iaitu bila anaknya mahu dihantar ke sekolah-sekolah yang terbaik maka dia meminta bantuan dan dapatkan surat sokongan dari ketua kampung, tok sidang, ADUN bahkan ketua menteri sekalipun.

Lebih malang, anaknya itu mempunyai keputusan yang ala kadar. Dalam bahasa melaka anaknya itu bangang abadi. Secara tidak langsung hak anak-anak yang cemerlang telah dinafikan. Maka bila kita menafikan hak orang dan orang tidak memaafkan, jawablah diakhirat kelak.

Sesudah itu, apabila mahu minta kerja, mereka mahu bekerja di sektor awam. Alasan yang diberi kerana sektor swasta tidak menjamin masa depan. Ini adalah alasan yang klise kerana bukan faktor sektor menjadi jaminan kejayaan seseorang. Usaha yang berterusan adalah kunci segalanya.

Lebih memualkan, golongan yang ala kadar ini memohon kerja melalui "jalan belakang" atau "kabel". Sebabkan itulah kebanyakkan agensi kerajaan menjadi pusat longgokkan saudara mara. Si ayah menjadi ketua jabatan, mak ciknya menjaga kaunter hadapan. Bapak mertuanya pula tukang kebun.

Sebab itulah agensi kerajaan tidak maju. Amalkan kronisme!

Bukanlah saya menidakkan, bahkan saya mengalu-alukan hal ini sekiranya prestasi yang ditunjukkan memberangsangkan. Ini tidak, masih ditakuk lama meskipun pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan. 

Saya berpegang kepada kata-kata selagi kita berusaha maka tuhan akan bantu kita. Jika tuhan tidak membantu kita maka Dia sedang menguji kita

Dalam hal ini, ada satu cerita benar yang saya ingin kongsikan. 

Ada seorang pak cik yang bekerja sebagai juruteknik di JKR pada tahun 70 an. Dia bercerita kepada saya yang dia seakan-akan tidak puas dengan kehidupannya. Datang kerja di waktu pagi, duduk di pejabat dan bila pukul 5 maka pulanglah dia. Sesuatu yang asalnya kerja menjadi rutin selama 3 tahun

Hinggalah satu ketika dia tersedar, apakah selamanya dia mahu berada di situ? Apakah dia boleh naik pangkat? Apakah gaji yang diperolehi boleh menampung dia dan keluarganya pada masa hadapan?

Lalu dia berhenti daripada perkhidmatan awam. Orang anggap dia gila. Kata orang, susah nak dapat kerja kerajaan. Banyak manfaat. Bodohlah kalau berhenti

Tetapi dibutakan mata dan dipekakkan telinga. Lantaklah, perlukah aku ikut kata orang dalam merencana hidup?

Sesudah dia berhenti, dia bekerja di salah satu syarikat kontraktor yang bertanggungjawab membina KLIA. Memang kerjanya susah, sehingga 3 hari tidak pulang rumah. Namun dia bukan orang yang ala kadar, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan

Selepas itu, dia melanjutkan pelajaran dalam peringkat Sarjana. Bayangkan dia hanyalah berkelulusan sijil sewaktu menjawat jawatan juruteknik. Betapa mencanaknya pencapaiannya dari sijil ke sarjana

Baru-baru ini, dia menubuhkan syarikat bagi membantu anak-anak MELAYU supaya memajukan diri mereka. Tetapi apa yang membuatkan dia kesal ialah sikap dan perangai anak-anak MELAYU yang tidak mahu berubah. Hanya mahu disuap.

Generasi masa sekarang lebih digelar generasi subsidi. Apa yang diminta semuanya diberi. Apakah salah didikan mak ayah atau peredaran zaman? Bukanlah saya yang patut menjawabnya.

Sesekali saya mahu senyum kambing dengan perangai beberapa kawan saya (perempuan) yang tidak dapat panggilan universiti. Mungkin mereka masih cetek akal apabila mengatakan kepada saya yang mereka mahu berkahwin sahaja.

Nampaknya, kebodohan mereka terserlah disini. Mereka harus berfikir dengan waras yang pertamanya mereka mempunyai segulung diploma. Adalah lebih baik mereka bekerja dan menyara mak ayah mereka setelah mak ayah mereka berhempas pulas menjaga mereka sejak kecil. 

Keduanya, apakah jaminan perkahwinan yang tergesa-gesa membawa barakah? Lelaki pada masa kini bukanlah seperti Romeo dalam karya Shakespeare. Sanggup mati demi cinta. Mungkin indahnya waktu bercinta tidak seindah selepas berkahwin.

Nampaknya, generasi masa kini bukan sahaja ala kadar, bahkan otak dan pemikiran mereka pun serba-serbi ala kadar.



Tiada ulasan: