29 September 2011

Aku, Anak India Dan Dato Shake

(berdasarkan kisah benar)


Aku ingin surahkan padamu mengenai sebuah hikayat mengenai aku, di mana hikayat ini perlulah kau tekuni setiap patah abjad dan perkataan supaya kau menginsafi diri lantas  bisa memperkasakan diri. Nasihatku kepadamu ialah marilah kita mengambil iktibar dari hikayat ini.Tetapi aku tidak menghalang dirimu supaya menamatkan bacaan hikayat ini. Mungkin kau leka menonton drama Korea yang hampas itu dan enggan membebankan mindamu dengan sesuatu pemberat yang mana tahu boleh mencambah sel-sel dalam otakmu itu.

Hikayat ini bukannya kisah dongeng yang berusia ratusan tahun, atau seperti kisah mitos yang ditemurunkan dari generasi ke generasi. Hikayat ini hakikatnya bermula dua hari lepas. Dimana hari itu aku bertemu dengannya, seorang anak India. Padaku dia anak muda berjiwa Malaysia yang aku fikir pada masa kini agak sukar dijumpai.

Dia peminat Dato Shake kerana acapkali bersiul lagu "Anugerah Dari Kegagalan"

Dari kegagalan,
Satu percintaan
Kualami
Penderitaan, 
Kesengsaraan
Kebatinan

Tapi disebalik
Semua kepahitan 
Tersembunyi
Oh keinsafan
Dan pengertan 
Yang amat dalam.

Terbukti kegagalan
Bukanlah kehancuran
Dengan anugerah
Nikmat dan hikmat
Kehidupan

Aku pelajari
Mengenali diri
Dan siapa kita
Yang sebenarnya 
Dibumi Tuhan
Ho Ho

Kalau difikirkan, kami bersapa secara tidak sengaja ketika aku menjawat di persatuan pelajar. Ironinya dia mengenali aku melalui nama yang terpampang di baju korporat ku. Sejak itu, kalau kami berjumpa dia akan berteriak namaku; "Ismaputra, Ismaputra!"

Dari situ kami rapat. Bukan rapat seperti pasangan kekasih yang memadu asmara. Tambahan pula dia seorang jantan, masakan pula aku bernafsu songsang? 

Rapat disini diibaratkan sebagai 2 insan berlainan kulit dan anutan menjadi kawan baik. Aku tak nafikan dia menggagumi aku kerana dia berpendapat aku dilahirkan untuk memegang kuasa. Padahal aku menganggap diriku seorang opportunis; suka mengambil kesempatan.

Itu hikayat tahun lepas. Dua hari lalu aku bertemunya di sini. Kami bersalaman. Lalu persoalan popular terpancul dari mulutnya; Apa khabar kakimu, isma?

Aku tersenyum, hanya bercerita padanya hal yang hakiki. Namun saat aku mengeluh padanya dia memberi semangat padaku. Dia mengajar aku erti tawakal. Sama menduga orang yang tak mengakui Allah s.w.t itu Tuhannya dan Muhammad s.a.w itu nabinya mengajar aku erti tawakal.

Lantas aku teringat ketika aku berada di kamar wad ketika aku dilawati oleh seorang tua yang aku tak kenali. Masih terngiang-ngiang ingatannya di mindaku hingga ketika saat ini. Katanya :

"Boleh jadi Tuhan menguji dirimu kerana mahu menghapuskan dosa-dosa lampaumu nya menimbun. Atau boleh jadi kau memang hamba yang baik. Namun Tuhan mahu menjadikan kau lebih baik"

Mungkin apa yang ingin aku sampaikan ini ada yang mengerti dan ada yang tidak. Ketahuilah yang aku hanya menulis, mungkin tidak sebaik penulis-penulis lain tapi niatku hanya satu, aku menulis untuk peringatan.


Tiada ulasan: